Ahad, 5 September 2010

Kenangilah..


Syeikh Ahmed Deedat
Wajah-wajah Dari Benua Afrika

AHMED DEEDAT… Berdakwah Sehingga
Ke Detik Terakhir

Pada hari Isnin, lapan haribulan Ogos 2005; umat Islam telah kehilangan seorang ulama terkemuka yang menggunung tinggi dalam dakwah. Beliau adalah pejuang, pendakwah dan mujahid Syeikh Ahmed Deedat…. Itulah gunung yang tinggi, gunung yang hebat, dan sebuah tanda untuk mengenalpasti ciri-ciri di dalam sejarah dakwah ke jalan Allah Tuhan sekelian alam. Itulah dakwah yang menggambarkan pembentukan seorang tokoh yang berbeza daripada kebanyakan tokoh-tokoh yang ada, sebagaimana ianya juga satu dakwah yang berbeza uslubnya daripada kebanyakan uslub-uslub dan cara-cara berdakwah yang telah sedia maklum.

Tokoh ini telah memilih jalan yang tidak mudah. Jalan ini tidak akan dilalui kecuali oleh tokoh-tokoh yang unggul. Beliau memilih untuk berhadapan dengan golongan Ahli Kitab di dalam rumah mereka sendiri, dan memberi kefahaman kepada mereka menerusi kitab-kitab suci mereka. Beliau menyatakan keaiban kitab-kitab tersebut dan menjelaskan perselisihannya (di antara kitab-kitab tersebut) seterusnya menjelaskan bahawa kitab seumpama ini tidak layak menjadi Wahyu Tuhan yang diturunkan ke atas para rasul… Dan bahawa agama yang benar adalah Agama Islam yang terakhir.. Semua ini menerusi perbahasan atau diskusi penuh hikmah yang memberi kesan hebat, di mana beribu-ribu orang Ahli Kitab telah kembali kepada agama yang benar, Agama Islam.

Syeikh Deedat telah menghabiskan hidupnya berjuang di lapangan ini, dan meninggal dunia di dalam suasana sedang melaksanakan risalahnya dari atas katil pesakit. Beliau meninggalkan kepada kita sebuah catatan hidup yang penuh berisi, yang perlu dikaji oleh setiap muslim, untuk mengambil pengajaran dan teladan… Di sini kita akan kemukakan secara ringkas catatan tersebut yang pastinya tidak mencukupi.

Kelahiran

Syeikh Ahmed Hussin Deedat dilahirkan di Bandar Sirat, India pada tahun 1918. Tidak lama selepas kelahiran beliau, bapanya telah berhijrah ke Afrika Selatan. Apabila berusia sembilan tahun, ibunya meninggal dunia.Maka beliau mengikut jejak bapanya berpindah ke Afrika Selatan.
Di Afrika Selatan, Ahmed begitu cekap dalam pelajarannya serta cemerlang mengatasi rakan-rakan sebayanya, sekalipun berbeza bahasa dan mula kelihatan tanda-tanda keunggulan serta kepintarannya.. Tetapi kemiskinan telah menjadi penghalang antara dirinya dengan ilmu dan pembacaan yang sangat disukainya. Keluarlah Deedat yang masih muda meninggalkan sekolah peringkat pertengahan untuk mencari sumber rezeki bagi dirinya.

Menerima Tanggungjawab Segera

Deedat melakukan pelbagai kerja, sehinggalah apabila berusia lapan belas tahun pada tahun 1936, beliau bertugas di sebuah kedai milik orang Islam, terletak di kawasan yang jauh di pesisiran pantai selatan daerah Natal. Kedai itu bersebelahan dengan tempat Missionnari Kristian. Para pelajar Missionari ini selalu datang ke kedai tempat Deedat berkerja dan di situ ada orang-orang Islam yang lain. Pelajar-pelajar Kristian ini melontarkan penghinaan kepada mereka dengan memburuk-burukkan Agama Islam dan mencela Nabi saw.
Mengenai peristiwa ini Syeikh Deedat berkata:” Ketika itu saya belum memahami apa-apa berkenaan perkara yang mereka katakan. Yang saya tahu hanyalah saya seorang muslim..Nama saya Ahmed..Saya solat sebagaimana saya melihat bapa saya solat..Saya berpuasa sebagaimana dia lakukan, saya tidak memakan daging babi dan tidak minum arak, dan saya mengucapkan Syahadah – laa ilaha illalah, Muhammadur Rasulullah.

Menyatakan Kebenaran

Berkata lagi Syeikh Deedat:” Ketika itu Kalimah Syahadah ini bagi saya umpama kata-kata sihir yang saya tahu kalau saya sebutnya, saya selamat. Dan saya tidak tahu lebih dari itu. Tetapi keinginan semulajadi saya dan kecintaan saya kepada pembacaan meletakkan saya di permulaan jalan. Saya tidak berpada dengan hanya membaca surat khabar yang saya baca sepenuhnya. Saya sentiasa mencari di dalam timbunan, bahan-bahan tambahan seperti majalah atau terbitan berkala. Satu kali semasa sedang mencari ini, saya terjumpa sebuah buku, tajuknya di dalam tulisan latin (izharulhaq). Saya pun terbalikkannya, saya dapati tajuknya di dalam bahasa Inggeris “Revealed Truth”. Saya duduk membacanya. Saya dapati buku ini khusus untuk menjawab tuduhan dan rekaan para pendakyah Kristian di India. Ketika itu para penjajah mendapati orang-orang Islam merbahaya kepada mereka. Oleh itu mereka cuba mengKristiankan orang Islam dengan menanam di fikiran orang Islam ajaran “Barang siapa memukul peha kanan kamu, maka berilah dia peha kiri kamu”.Dengan itu mereka tidak menghadapi tentangan besar dari orang Islam.Kerana itu juga orang-orang Islam di sana terdedah kepada kempen pertubuhan Kristianisasi.Buku ini menerangkan teknik, uslub dan kemahiran tertentu.Ia menjelaskan cara memulakan perbincangan, cara melontarkan soalan, dan uslub menjawab ketika berdebat dengan pendakyah Kristian.
Muslimin di India telah berjaya di tengah-tengah meja yang menghadap mereka,secara khususnya melalui idea mengadakan perbahasan.

Kembali Kepada Para Pelajar Missionnari

Ejekan oleh para pelajar Missionnari Kristian ini telah menjadikan Deedat mula mengkaji. Dia membeli jilid pertama Bible dan mula membaca serta memahami. Kemudian dia membeli beberapa jilid Bible dari pelbagai versi. Beliau bersungguh-sungguh membacanya, kemudian membuat perbandingan di antara semua isi kandungan yang terdapat di dalamnya. Maka terbongkarlah percanggahan kontradik yang pelik. Dia pun bertanya kepada dirinya sendiri: Yang mana satu antara kitab-kitab Bible ini yang betul? Beliau meneruskan usahanya dengan mencatat percanggahan-percanggahan tersebut untuk dikemukakan di hadapan orang-orang yang selalu berdebat dengannya setiap hari di kedai.
Di dalam pertemuan kali kedua dengan para pelajar Missionnari beliau telah bersedia untuk berbahas dengan mereka, malah beliau menjemput mereka.Apabila para pelajar ini tidak mampu bertahan ketika berdepan dengan hujah-hujah,beliau secara individu menjemput pula guru-guru mereka yang terdiri dari para pendita di pelbagai kawasan.Sedikit demi sedikit minat dan sikap ambil tahu ini telah berubah menjadi suatu peranan dan jalan yang jelas untuk berdakwah.Beliau melalui banyak pusingan perdebatan dan telah berjaya.Beliau melakukannya selama tiga dekad di mana beliau telah menyampaikan beratus-ratus ceramah dan debat dengan para Bishop.Beliau juga telah menyusun lebih dari dua puluh buah buku, di antaranya:
-The Choice (Pilihan) yang terdiri dari beberapa siri
-“Adakah Bible Wahyu Allah?”
-“Al-Qur’an Mukjizat Terunggul”-“Isa Dalam Islam”
-“Arab dan Israel, Pertembungan atau Persefahaman?”
-“Persoalan Penyaliban Isa”…

Deedat Town?!

Allah telah mentakdirkan Ahmed Deedat bertemu dua orang individu yang berjasa besar dalam hidup dan dakwah beliau serta menyampaikan dakwahnya ke peringkat antarabangsa.
Pertama: Ghulam Hassan Fanka, seorang pemuda dari Afrika Selatan, bekelulusan Leasons dalam Perundangan, dan berkerja dalam perniagaan kasut. Dia dan Deedat dihimpunkan oleh kehalusan jiwa dan sikap ambil tahu berkenaan isu-isu Islam.
Ghulam bertemu Deedat di dalam ekspedisi pencarian, pengkajian dan pembacaan mendalam di bidang perbandingan agama. Beliau banyak membantu Deedat mendapat ilmu dan menggilap peribadi. Mereka berdua bersama-sama menjelajah bandar-bandar dan kampung-kampung kecil dalam Afrika Selatan. Pada tahun 1956, Ghulam membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh masanya untuk dakwah. Kedua-dua orang tokoh ini telah mengasaskan “Maktab Dakwah” di sebuah apartmen sederhana di Bandar Durban. Dari situ mereka bergerak ke gereja-gereja dan sekolah-sekolah di dalam Afrika Selatan di mana Deedat mengadakan perdebatan-perdebatan yang hebat serta mudah difahami.
Individu kedua: adalah Salleh Mohamad. Beliau seorang tokoh hebat di kalangan orang-orang Islam dan beliau tinggal di Bandar Cape Town. Bandar ini terkenal dengan kepadatan penduduk Islam, begitu juga penguasaan dan monopoli oleh Kristian. Bandar ini juga mempunyai kedudukan ekonomi dan politik yang penting pada masa itu. Salleh Mohamad telah menjemput Deedat melawat Bandar tersebut, dan beliau mengatur program debat dengan para Bishop di sana. Oleh kerana bilangan mereka ramai dan keinginan mereka untuk berdebat, maka Deedat seolah-olah terpaksa menginap di Cape Town untuk selama-lamanya.

Menerusi program-program debatnya, Deedat telah memperolehi kedudukan yang tinggi di kalangan seluruh penduduk Cape Town yang membanjiri program debat beliau sehinggakan “Cape Town” terkenal dengan Deedat Town!!
Deedat menjelajah ke seluruh negara bersama rakan jalanannya. Program-program debat beliau telah menimbulkan keresahan di kalangan gereja dan di dalam masyarakat seluruhnya. Ianya menggoncang kefahaman dan kepercayaan yang sebelum ini telah teguh dan dianggap suci serta dapat mengubahnya. Berlaku kekosongan di dalam gereja selepas beratus-ratus orang berpindah kepada agama Islam dengan kehendak mereka sendiri kesan dari menghadiri program debat atau selepas melawat beliau di Maktab yang telah bertukar menjadi sebuah forum bagi para pelawat dan tetamu dari semua tempat.

Berpindah Ke Peringkat Antarabangsa

Dari Afrika Selatan, Deedat keluar ke dunia dalam sebuah program debat antarabangsa tahun 1977 di dewan Albert Holl, London…
Deedat berdebat dengan tokoh-tokoh agama Kristian yang hebat seperti: Clark-Jimi Swejert-Anise Shrosh dan lain-lain. Perdebatan beliau telah bergema di barat dan gemanya masih kedengaran sehingga ke hari ini. Perbincangan beliau berkaitan percanggahan yang wujud di antara empat versi kitab Bible telah menyebabkan gereja dan pusat-pusat pengajiannya serta universiti-universiti di barat mewujudkan satu bahagian khas untuk berdebat dengan Deedat serta mencatatnya dan meletakkannya di dalam kajian khusus untuk mematahkan hujah beliau, dan menghalang penyebarannya.

Jasa dan Karya Beliau

Syeikh Deedat terus berdakwah kepada Islam, mempertahankan dan membela Islam serta berdebat dan mengarang.Di antara jasa beliau dalam dakwah adalah:
-Mengasaskan Institut Salam untuk melatih para pendakwah, dan Pusat Antarabangsa Dakwah Islamiyah di Bandar (Durban), Afrika Selatan.
-Mengarang lebih dari dua puluh buah buku, antaranya yang terkenal:
The Choice (Pilihan) dalam beberapa siri.
Adakah Bible Wahyu Allah?
Al-Qur’an Mukjizat Terunggul
Isa Dalam Islam
Arab dan Israel, Pertembungan atau Persefahaman
Persoalan Penyaliban Isa
dan karya-karya lain yang dicetak bermilion-milion untuk diedarkan secara percuma, manakala perdebatan pula sebahagiannya dicetak. Beliau telah menyampaikan beribu-ribu ceramah di seluruh pelusuk dunia… Beliau pernah berkata: “Kalau diberi peluang kepada saya oleh para pembekal, nescaya saya akan penuhkan dunia dengan buku-buku Islam, khasnya buku Makna Al-Qur’an dalam bahasa Inggeris”.
Beliau diberikan Anugerah Al-Malik Faisal Antarabangsa tahun 1986 sebagai menghargai sumbangan besarnya dan diberi pangkat “Ustaz”.

Berdakwah Sehingga Ke Detik Terakhir

Pada 1996 Deedat mengalami lumpuh seluruh badannya. Semenjak itu beliau sentiasa terlantar sakit di katil. Tetapi beliau tidak berhenti sedetik pun dari berdakwah. Beliau melakukannya dengan menggunakan isyarat kedua-dua matanya. Dengan menggunakan isyarat tersebut, Syeikh meneruskan perbincangan dengan para pelawatnya dan orang-orang yang mendampinginya. Malah orang-orang yang berdialog dengan beliau menggunakan sejenis bahasa khas yang menyerupai sistem computer. Syeikh akan menggerakkan kelopak matanya dengan cepat mengikut jadual abjad dan memilih huruf, lalu menjadi perkataan, lalu menjadi ayat, dan ayat-ayat ini diterjemahkan pula oleh anak beliau Yusuf yang sentiasa berada di samping beliau. Anehnya, semasa sakit ini Syeikh berjaya menulis setiap hari hampir lima ratus pucuk surat dan beliau tidak berhenti berdakwah sehinggalah ajal datang menjemputnya di dalam keadaan sebagai seorang pejuang, pendakwah dan seorang yang sabar.
Kita memohon agar Allah melapangkan syurga baginya, dan semoga Allah menghimpunkan kita dan beliau bersama-sama para Ambiya, Siddiqin, Syuhada dan para Solihin.

Tiada ulasan: